Media dan sosial media dianggap sebagai kuasa keempat dalam sistem demokrasi, dan misi utama mereka ialah memantau kerajaan. Dalam banjir terkini yang telah membunuh 46 nyawa dan mendatangkan kerugian sebanyak 200 bilion Ringgit, media memainkan peranan yang amat penting. Kita perlu memanfaatkan media untuk: (1) mengenal pasti punca berlakunya banjir, (2) memantau operasi menyelamat oleh kerajaan dan (3) membincang dasar yang dapat mencegah banjir pada masa depan.
Walaupun terdapat pelbagai laporan dan perbincangan tentang punca banjir dan kerja penyelamatan, inisiatif pencegahan yang dibincangkan untuk mencegah banjir pada masa depan masih tidak mencukupi.
(1) Mengenal Pasti Punca Berlakunya Banjir
Pertama, rakyat Malaysia perlu menggunakan media atau media sosial untuk membincangkan sama ada masalah banjir boleh dielakkan atau tidak. Menurut laporan, pada bulan Julai yang lalu, Nurul Izzah pernah mengingati kerajaan supaya bersedia untuk berdepan dengan angin monson timur laut namun isu tersebut telah diketepikan oleh kerajaan. Jikalau kerajaan tidak mengabaikan amaran Nurul Izzah dan mengambil inisiatif pencegahan tertentu, kemusnahan dan kematian akibat banjir ada kemungkinan besar dapat dielakkan atau dikurangkan. Apa yang mengecewakan ialah kini kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini telah menganggap banjir kilat tersebut sebagai perbuatan Allah.
Rakyat Malaysia perlu mengutuk dengan tegas terhadap perbuatan kerajaan yang mencari alasan untuk menutup ketidakbertindakannya.
(2)Operasi Menyelamat
Kedua, memanfaatkan media sosial dan media untuk memantau operasi menyelamat oleh kerajaan. Prestasi kerajaan dalam operasi menyelamat mangsa banjir adalah tidak cekap dan sistematik. Kerja menyelamat yang lambat, Majlis Bantuan Mangsa Banjir yang diadakan oleh Rina Harun, Noh Omar yang menyatakan bahawa pengurusan bencana bukanlah di dalam skop tanggungjawab sendiri dan Menteri-menteri yang lebih berminat untuk bergaya daripada membuat kerja, perbuatan-perbuatan tersebut telah menyebabkan emosi tidak puas hati rakyat Malaysia.
Di samping itu, pegawai kerajaan juga menggunakan peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menindas kritikan sihat terhadap kerajaan. Sebagai contoh, berdasarkan laporan, SKMM meminta pihak Twitter untuk memadamkan ciapan yang mengutuk menteri namun telah ditolak oleh pihak Twitter. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengutuk sekeras- kerasnya SKMM kerana pemantauan kerajaan ialah peranan media, SKMM sebagai pihak berkuasa yang memantau media, sepatutnya menggalakkan kritikan sihat terhadap ketidakcekapan kerajaan dalam operasi menyelamat. Selain itu, SKMM juga perlu berfokus untuk menyekat tentera siber yang diupah oleh parti politik atau kerajaan, ucapan kebencian dan berita palsu.
Kita harus memanfaatkan media untuk memantau dan mengkritik ahli politik dan kementerian yang menindas kritikan sihat dan cuba menggunakan isu-isu lain untuk mangalihkan perhatian orang ramai daripada ketidakcekapan diri sendiri. Seterusnya, kita perlu meletak balik perhatian kita kepada krisis banjir ini dan menyeru kerajaan supaya memperkasa operasi menyelamat.
(3) Inisiatif pencegahan banjir pada masa depan
Ketiga, perbincangan yang paling penting iaitu memantau kerajaan dalam perangkaan inisiatif untuk mencegah bencana, terutamanya bencana banjir yang telah melanda beberapa negeri pada masa terdekat ini.
Kita perlu megutuk dengan tegas terhadap tindakan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun yang menolak perbahasan ahli Parlimen terhadap dasar menangani banjir atas sebab ‘tiada ahli politik memberi notis perbahasan isu banjir’. Ahli Parlimen dipilih rakyat adalah untuk merangka dan membahas tentang dasar untuk menambahbaik masalah yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya masalah banjir ini yang telah menyebabkan 46 kematian. Tindakan kerajaan yang menyekat perbincangan sihat untuk mengalihkan tumpuan orang ramai ini telah mengecewakan rakyat Malaysia.
Isu-isu yang berlaku tersebut telah membuktikan wajibnya rakyat memanfaatkan media untuk memantau kerajaan. Melalui media, wartawan harus lebih kerap bertanya kerajaan tentang inisiatif pencegahan banjir pada masa hadapan. Rakyat Malaysia bukan sahaja perlu menyahut seruan 77 orang ahli Parlimen untuk menubuhkan RCI bagi mengenal pasti punca banjir, tetapi mereka juga perlu lebih kerap untuk membincang dan menyoal kerajaan tentang dasar pencegahan banjir pada masa depan dalam media sosial. Sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan inisiatif pencegahan bencana yang lebih baik, bencana banjir sedemikian tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa kelak.
Kesimpulan
Mengenai banjir baru-baru ini, tanggungjawab kerajaan ialah mengenal pasti punca berlakunya banjir, menjalankan operasi menyelamat dan merangka dasar demi pencegahan banjir. Malangnya, kerajaan bukan sahaja tidak berdepan dengan masalah banjir dengan berkesan, malah mereka menafikan ketidakcekapan mereka, menindas kritikan sihat, bergaya dalam kawasan banjir dan mencari alasan untuk mengalihkan tumpuan orang ramai daripada isu banjir.
Demi pemantauan kerajaan yang lebih berkesan, kita perlu memanfaatkan media dan sosial media untuk memeriksa (1) punca berlakunya banjir, (2) operasi menyelamat dan (3) inisiatif pencegahan banjir pada masa depan. Melalui perbincangan yang berkualiti, kita dapat memantau kerajaan dengan lebih berkesan supaya mereka tidak lagi dapat mengalihkan perhatian rakyat Malaysia untuk menutup ketidakbertanggungjawaban mereka
Published in Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/letters/605530